Sekarang ni rasanya ramai yang fail bila ditanya tentang Rukun Negara.
Penulis cuba untuk mencari di banyak laman web, tapi ini yang penulis rasa boleh digunapakai.
----========-----------============--------=========---------
Rukun Negara
oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang
menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
- Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya
- Memelihara cara hidup demokratik
- Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
- Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak
- Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden:
Ikrar
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami
untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
- Kepercayaan kepada Tuhan
- Kesetiaan kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
PENJELASAN PRINSIP RUKUN NEGARA
[]Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui
kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan
negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah
agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan
dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan
membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama
sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan
kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan
keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya
keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini
telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
[]Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan
Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan
di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka
Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah
menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang
memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang
di-Pertuan Agong.
[]Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran
atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan
yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan
hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki
menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang
sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan
kesepakatan semua kaum dan semu pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu
kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana
individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan
kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang
berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
[]Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di
sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia.
Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu
diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara
tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman
yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan
mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang
akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa
sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak
semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta
perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari
kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan
kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut
Perlembagaan.
No comments:
Post a Comment