ARKIB : 29/10/2010
Ada takut Sejarah diwajibkan
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Seorang ahli Parlimen mendedahkan, ada pihak bimbang tembelang sebenar mereka terdedah sekiranya Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) berkata, langkah kerajaan itu akan menyebabkan rakyat mengetahui siapa dalang sebenar yang mencetuskan pertelingkahan antara kaum sehingga menyebabkan berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 di negara ini.
"Saya ingin cadangkan kepada kerajaan supaya Peristiwa 13 Mei ini didedahkan melalui mata pelajaran Sejarah.
"Tetapi saya hairan kenapa ada golongan tertentu yang takut Sejarah ini diajar di sekolah? Takut Peristiwa 13 Mei ini didedahkan? Kerana mereka takut rakyat tahu tembelang sebenar, betapa rasis dan cauvinisnya mereka, siapa mereka sebenarnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, kerajaan dicadang memperbanyakkan bahan penerbitan berkaitan Peristiwa 13 Mei itu supaya ia dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia.
Zulkifli berkata, peristiwa itu bukanlah kejadian spontan yang berlaku pada tarikh itu sahaja sebaliknya, ia sebenarnya sudah bermula sejak 1957 apabila parti DAP memainkan isu perkauman.
"Mereka pertikai hak dan status pribumi dan orang Melayu ketika itu. Pelbagai peristiwa pergaduhan antara orang Melayu dan Cina berlaku ketika itu. Ini fakta yang tertulis dalam laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan dua lagi buku tentang peristiwa hitam itu," katanya.
Beliau berkata, apa yang dipertikaikan DAP ketika itu sama sahaja sehingga sekarang malah, ia dilakukan oleh orang sama yang masih berada di dalam parti itu kini.
Dalam pada itu, Zulkifli menggesa kerajaan supaya memperjelaskan secara mendalam mengenai Gagasan 1Malaysia supaya ia benar-benar difahami dan dihayati oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, kegagalan kerajaan berbuat demikian dikhuatiri akan menyebabkan gagasan itu akan disalah tafsir oleh banyak pihak.
"Gagasan 1Malaysia ini perlu diperjelaskan bahawa maksudnya adalah negara didahulukan rakyat diutamakan.
Sesiapapun bila soal negara perlu dahulukan, ke mana kita pergi pun... tidak seperti sekarang, ada yang pergi ke luar
negara, maki hamun caci negara sendiri," katanya.
Zulkifli turut membidas pihak tertentu yang sentiasa mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dengan menuntut pelbagai perkara dengan alasan mahu hak yang adil dan sama rata untuk semua.
"Soal persamaan tak timbul kerana tunggak negara iaitu Perlembagaan Negara yang menjadi undang-undang utama negara ini sendiri adalah bersifat diskriminasi yang positif... ia meletakkan agama Islam dan Melayu serta bumiputera dilebihkan... itu kedudukan dalamnya... tak boleh dinafikan. Itu hakikat dalam negara ini.
"Begitu juga Bahasa Melayu, ia tidak boleh sama dengan bahasa lain di negara ini kerana ia bahasa yang termaktub dalam Perlembagaan yang didaulatkan.
"Tetapi selepas 50 tahun pun, masih ada yang tak faham bahasa macam Ipoh Timur (Lim Kit Siang) yang persoalkan peribahasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini," katanya.
No comments:
Post a Comment